Oleh: Zacherlyn E
Tekanan kerja, kesibukan mengurus aktiviti seharian dan pelbagai cabaran hiruk-pikuk kota raya pasti mampu mempengaruhi faktor kesihatan seseorang, khasnya bagi mereka yang mempunyai jadual seharian yang padat.
Yap Siong Han antara yang berkongsi tips bagaimana beliau kekal aktif dan cergas dengan mengamalkan gaya hidup sihat walaupun rutin kerja beliau amat padat.
“Bekerja sebagai seorang wartawan sememangnya memerlukan saya untuk mempunyai tahap kecergasan yang tinggi, perlu bergerak ke banyak lokasi acara, pantas dan waktu kerja yang tidak menentu amat memberi kesan kepada tubuh badan.
“Untuk itu, saya nekad untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan saya, kekal cergas dan sihat dengan menjalani rutin kehidupan seharian yang seimbang dari segi pergerakan fizikal dan juga amalan diet kesihatan yang baik,” katanya ketika dihubungi oleh NewSabahNews hari ini.
Menurut Yap, rahsia beliau kekal cergas adalah dengan bersenam secara teratur, sebanyak lima kali seminggu.
“Dalam seminggu, saya luangkan masa lima hari untuk bersenam, khasnya di gim dan senaman saya semuanya yang memfokuskan untuk membentuk otot yang melibatkan gerakan bagi bahagian dada, lengan, bahu, belakang dan kaki.
“Pada awalnya saya melakukan aktiviti ini untuk mengisi masa lapang dan melepaskan tekanan kerja dan lama kelamaan, ia menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan dan saya teruskan sehingga kini,” kata Yap.
Jelasnya, untuk permulaan, seseorang yang ingin bersenam khasnya di gim dan ingin membentuk otot tubuh badan, wajar untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada jurulatih profesional dan membuat rujukan.
“Kita perlu ada penelitian asas dahulu, cuba cari info asas tentang jenis-jenis senaman yang boleh dilakukan yang bersesuaian dengan kekuatan dan keupayaan tubuh badan kita masing-masing.
“Boleh juga rujuk dengan rakan-rakan yang sudah berpengalaman dengan semua peralatan dan keadaan rutin senaman di gim, langkah-langkah asas sebelum memulakan senaman dan juga boleh memulakan latihan senaman secara perlahan-lahan, kerana ini amat penting untuk seseorang yang baru mahu mencuba, ini juga bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini, misalnya kemalangan atau kecederaan semasa melakukan aktiviti senaman di gim,” jelas Yap lagi.
Anak muda yang amat mesra didekati ini juga berkongsi bahawa usaha untuk mendapatkan tubuh badan yang cergas dan sihat adalah usaha berterusan dan memerlukan disiplin yang tinggi.
Katanya, kunci kejayaan bagi tubuh badan yang dihat dan minda yang positif untuk meneruskan rutin seharian adalah disiplin.
“Untuk sihat tubuh badan dan emosi, kita perlu ada disiplin diri yang kuat.
“Bila kita mampu kekalkan disiplin diri dan menjalani rutin senaman fizikal dan terapi untuk minda kita, pasti segala yang dilakukan akan berjalan dengan lancar.
“Lebih-lebih lagi, disiplin ini turut melibatkan disiplin untuk menjaga rutin pemakanan yang seimbang, mengambil banyak makanan berserat dan tinggi protien, sekaligus menghindarkan makanan berkolesterol tinggi serta makanan yang mengandungi bahan pengawet, pewarna dan pemanis tiruan yang akan memberi kesan kepada tubuh badan kita kelak.
“Bila sudah dapat penyakit di kemudian hari, diri sendiri juga yang merana,” jelas Yap.
Yap juga memberitahu bahawa beliau turut membuat aktiviti fizikal dan sukan seperti mendaki gunung.
Katanya, apa saja aktiviti kesihatan yang dilakukan perlu dibuat dengan senang hati.
“Aktiviti kecergasan dan kesihatan macam bersenam ni, lagi seronok bila kita buat dengan lapang dada, kita menikmati aktiviti tersebut dan hasilnya pasti amat bagus untuk diri kita,” ujar Yap lagi.
Jelaslah bahawa dalam kesibukan kita mengejar masa untuk menyiapkan tugasan harian tidak kira bagi yang bekerja atau belajar, penting juga untuk kita selitkan aktiviti kesihatan seperti bersenam.
Hal ini terbukti mampu membantu kita untuk lebih fokus, mendapat tubuh badan yang sihat dan memberikan kita keseronokan.
Pastinya saya juga akan mengamalkan gaya hidup sihat dan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk memastikan badan saya kekal cergas dan sihat.
