LAPORAN KHAS- Operasi dan tugas media semasa musim COVID19

Oleh: Zacherlyn E

Petugas media adalah antara petugas barisan hadapan yang setia, dalam apa jua keadaan, melaporkan segala perkembangan semasa dalam dan luar negara kepada rakyat dan media jugalah antara penyumbang terbesar kepada kejayaan tamadun manusia.

Dalam erti kata mudah, medialah medium perantara yang terdiri daripada wartawan atau pemberita, jurugambar, jurukamera, penyunting di bilik berita, dan sub-penyunting yang waktu bekerjanya tidak mengenal masa dan keadaan.

Pastinya masa kini takkala seluruh dunia bergelumang dengan kemelut pandemik COVID19 yang tidak tahu bila penghujungnya, petugas media juga antara pihak yang wajar dihargai dan difahami corak tugasnya, khasnya oleh semua masyarakat umum.

Ricardo Unto, wartawan meja berita am dari Daily Express berkongsi kisah beliau bersama wartawan NewSabahNews tentang perbezaan tugas beliau sebelum dan semasa pandemik COVID19 memuncak kini.

“Jelas memang ada perbezaan dalam cara kami bekerja jika dibandingkan dengan sebelum ini, dimana pandemik COVID19 belum muncul dan tidak pernah terjangka akan muncul sekaligus ‘menusuk’ dalam kehidupan masyarakat kita.

“Jika sebelum ini, tugas sebagai wartawan yang saban hari sibuk berkejar ke sana sini bagi mengumpul bahan berita, menghadiri acara dan majlis, wartawan ‘bebas’.

“Namun selepas pandemik COVID19 muncul, segala pergerakan lebih terkawal dan terhad.

Menurut Ricardo, sebelum memulakan sesuatu tugasan seperti menghadiri majlis atau acara sidang media misalnya, banyak sudut yang perlu diteliti dan dititikberatkan.

“Memang banyak faktor perlu diambil kira sebelum keluar membuat tugasan kerana pada masa kini, keselamatan diri kita dan orang disekeliling adalah menjadi keutamaan.

“Sudah tentu tidak banyak majlis dan acara yang diadakan pada masa kini kerana semua perkara adalah tertakluk kepada kendalian SOP dan ini semua adalah bertujuan untuk melindungi semua orang dan antara usaha bagi memutuskan rantaian penularan wabak ini,” kata Ricardo lagi.

Dalam pada itu, Ricardo turut berkongsi bahawa organisasi berita tempat beliau bekerja mengamalkan sistem penggiliran bekerja.

Katanya, sistem itu diadakan dengan melibatkan pekerja khasnya bagi bahagian editorial, dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Macam di organisasi kami, kami dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan akan bekerja di pejabat selama enam hari seminggu, sementara kumpulan satu lagi akan bekerja dari rumah, dan bergilir-gilir setiap minggu.

“Langkah ini diambil untuk mengurangkan kesesakan di pejabat serta meminimumkan risiko jangkitan sementara menjamin operasi kami sebagai sebuah agensi media tidak akan terganggu,” jelas Ricardo lagi.

Dalam pada itu, Ricardo turut menjelaskan bahawa pandemik COVID19 memberi pengajaran kepada semua masyarakat khasnya dalam aspek penjagaan kebersihan diri, keluarga dan komuniti.

“Apa yang berlaku kini ada hikmahnya dan paling jelas, ini adalah untuk memberi kita peringatan tentang betapa pentingnya untuk kita sentiasa berhati-hati khasnya dalam menjaga kebersihan diri,” ujar beliau lagi.

Kesimpulannya petugas media, khasnya wartawan yang corak kerjanya memerlukan mereka turun padang dan bertemu ramai orang, amat berisiko.

Pastinya khidmat dan jasa golongan ini wajar untuk kita kenang kerana mereka adalah sumber perolehan maklumat yang diyakini.

Teruskan sokongan kepada industri media tanah air, tidak kira media cetak atau media elektronik kerana mereka sememangnya menyampaikan kandungan berita yang sahih dan boleh dipercayai.

Jadi rakyat yang bijak dan pilih saluran media yang tepat kerana ini mampu untuk memberikan kita informasi yang benar, sekaligus dapat mengelakkan kita daripada menjadi penyebar berita palsu.

Tinggalkan komen