LAPORAN KHAS- Tahun Baru Cina dengan norma baharu

Oleh: Zacherlyn E

Norma baharu yang diamalkan dalam kehidupan seharian masa kini seakan-akan sudah sinonim dengan semua keadaan, tidak terkecuali sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2021.

Tony Hsing antara yang berkongsi kisah beliau sekeluarga dalam membuat persediaan sambutan Tahun Baru Cina.

“Tahun ini, kerana kita dalam suasana pandemik COVID19, dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semuanya amat berbeza daripada kebiasaan setiap kali saya sekeluarga membuat sambutan menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

“Kali ini tiada sebarang persiapan yang kami lakukan dan dekorasi serta suasana juga amat berbeza memandangkan kita semua tertakluk kepada arahan untuk mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Ini juga demi kebaikan kita untuk terus berjaga-jaga memandangkan saya mempunyai bapa yang berusia 95 tahun, jadi memang perlu amat berhati-hati kerana sememangnya kita telah diingatkan berulang kali tentang risiko warga emas yang mudah dijangkiti wabak COVID19 ini,” katanya ketika dihubungi wartawan NewSabahNews hari ini.

Tony (dua dari kanan) bersama keluarga semasa sambutan Tahun Baru Cina 2020

Usahawan ini juga memberitahu bahawa makan malam sambutan tahun baru kali ini hanya melibatkan keluarga abang beliau dan mereka hanya berkumpul untuk meraikan malam makan besar.

Katanya, sambutan hari pertama tahun baru juga tidak dibuat seperti biasa dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

“Dalam keadaan sekarang, tidak dapat untuk saling kunjung mengunjungi ke rumah jiran tetangga dan rakan-rakan, jadi kita gantikan tanda ingatan kita kepada mereka secara alam maya.

“Walaupun dalam keadaan membendung COVID19, namun tradisi untuk saling bermesra dan bertanya khabar perlu diteruskan kerana jalinan persaudaraan itu perlu terus utuh, biarpun tidak dapat berkumpul beramai-ramai,” katanya.

Tradisi tidak wajar dilupakan, kata Tony

Menurut Tony, beliau berasa sedikit terkilan kerana simbolik terbesar sambutan tahun baru kali ini tidak dapat diadakan.

“Saya sedih kerana tahun ini kita tidak ada tarian singa, tidak ada bunyi-bunyi kemeriahan muzik yang merancakkan lagi sambutan tahun baru.

Tarian singa adalah simbolik utama yang memeriahkan sambutan tahun baru

“Inilah dugaan yang kita semua lalui dan semoga tahun baru kita kali ini membawa sinar baharu biarpun sambutannya adalah dalam norma baharu, kita perlu terus menjaga diantara satu sama lain demi membantu usaha mengekang wabak COVID19,” katanya.

Dalam perkongsian Tony, beliau turut memberitahu bahawa keunikan Sabah sebagai sebuah negeri perpaduan yang dicontohi oleh banyak negeri lain sentiasa kekal biarpun dalam keadaan masa kini.

Keluarga Tony yang berbilang bangsa

“Isteri saya berbangsa Kadazan dari Kampung Tuavon, Penampang dan tahun lalu, kami meraikan sambutan tahun baru di sana.

“Apa yang amat menggembirakan ialah apabila kita semua berkumpul, pelbagai kaum dan bangsa serta agama, menyaksikan tarian singa, menikmati juadah yang lazat serta berkongsi budaya dan menyemarakkan semangat muhibah kita.

“Keunikan ini perlu kita teruskan biarpun kini kita tidak dapat bersama secara fizikal, namun ini tidak bermakna sambutan tahun baru kita tidak diraikan dan dinikmati oleh semua,” tambah Tony lagi.

Nyata norma baharu yang ‘mandatori’ untuk kita semua akur dan patuh tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak memeriahkan perayaan tahun baru.

Manfaatkan teknologi komunikasi untuk terus berhubung dengan insan tersayang dan kekal bersilaturahim bersama rakan-rakan dan jiran tetangga, kerana kita adalah satu keluarga dalam rumpun besar yang bersama berdiri dalam sebuah negeri yang harmoni dan negara yang aman damai.

Semoga pandemik COVID19 dapat dikekang secepatnya dan kehidupan kita semua kembali seperti sedia kala.

Tinggalkan komen