LAPORAN KHAS – Literasi Kesihatan Rakyat: Sejauh mana kita ambil berat

Oleh: Zacherlyn E

Peningkatan kes COVID19 saban hari nyata memberi kesan kepada negara, bahkan seluruh dunia merasakan keperitan untuk melawan pandemik ini. Petugas barisan hadapan mencurah bakti dan keringat tanpa mengira jam kerja dan hanya mampu berserah kepada Tuhan dan berdoa semoga semuanya kembali pulih.

Malaysia, negara tercinta yang turut terkena tempias keperitan COVID19 yang meragut kestabilan ekonomi, menjejaskan sektor pelancongan dan menghimpit semua rakyat. Kehilangan pekerjaan, sesi persekolahan bertukar, pengajian di universiti juga berubah, corak kerja dalam pasukan turut berpaksikan kepada sumber teknologi sebagai satu-satunya penggerak kepada sistem perhubungan dan komunikasi.

Pastinya ibu ayah di kampung turut bersedih, sejak awal tahun lalu, anak-anak tidak dapat pulang ke desa, menyambut perayaan, semua urusan dan majlis turut tergendala. Namun, adakah terdetik dalam benak sanubari kita semua, sampai bila semua ini harus berlanjutan?

Penjelasan ringkas dan mudah untuk semua orang adalah, terus patuh arahan dan dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih. Mengapa?

*Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Individu-individu yang tidak asing lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri, dan tentunya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang saban hari juga muncul di kaca televisyen dan corong-corong radio, membawakan perkembangan semasa untuk kita, menyalurkan maklumat terkini dengan harapan agar kita semua terus bersatu hati dan menang dari COVID19.

Namun adakah semua yang disampaikan oleh mereka ini mampu untuk kita hadam? Adakah rakyat benar-benar mengaplikasikan norma baharu dalam kehidupan seharian?

Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Haryati Abd. Karim berkongsi pandangan dan penjelasan beliau berkenanan literasi maklumat COVID19 bersama wartawan NewSabahNews.

“Tan Sri Dr. Noor Hisham antaranya, dan petugas-petugas barisan hadapan di hospital yang mengendalikan kes-kes COVID19, merekalah individu yang paling sesuai untuk muncul dalam media cetak dan elektronik, untuk memberikan pendidikan dan kesedaran kepada umum tentang bahayanya COVID19.

“Perik lelah mereka harus diketahui oleh semua masyarakat, supaya tidak ada lagi yang menganggap COVID19 ini, seumpama selsema, yang tidak membahayakan, sungguh menyedihkan,” katanya.

*Komunikasi dan Literasi Maklumat COVID19

Pensyarah ini turut memberitahu bahawa pematuhan kepada semua amalan norma baharu yang dikeluarkan oleh KKM dan MKN adalah kunci kejayaan kepada usaha untuk menang melawan COVID19.

“Jika SOP dipatuhi 100 peratus, semua memberikan kerjasama, dan paling utama #kitajagakita itu diamalkan dengan sebenar-benarnya, tentu usaha melawan COVID19 dapat dilakukan dengan jayanya.

“Semua pihak, tidak kira dari peringkat bawahan, atasan, luar bandar atau bandar, wajar mematuhi dan mengaplikasi norma baharu sepenuhnya dalam amalan seharian, ini saja kunci kepada kejayaan kita untuk menang menentang COVID19,” katanya lagi.

Tambah Haryati lagi, iklan dan pesanan khidmat masyarakat yang disiarkan melalui media cetak dan elektronik kepada audiens sudah memadai dan kini menjadi tugas dan tanggungjawab audiens untuk memegang peranan sebagai barisan hadapan untuk diri masing-masing, keluarga, komuniti, dan negara melawan COVID19.

“Dari segi keaktifan penyampaian mesej-mesej kempen kesihatan berkenaan COVID19 yang dilakukan, ia jelas menunjukkan usaha pihak atasan yang amat serius untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini dan rakyat diseru untuk mengikuti semua saranan yang dikeluarkan, dalam erti kata mudah, patuh dengan semua SOP dan ikuti perkembangan dari semasa ke semasa, melalui sumber yang sahih.

“Namun, apa yang sedikit menimbulkan kebimbangan adalah apabila mesej itu diterima oleh audiens, dan pentafsiran mereka yang mungkin berbeza diantara satu sama lain. Dalam konteks penyampaian maklumat kesihatan sebegini, sememangnya ia perlu disampaikan dengan bentuk pendidikan. Untuk mendidik masyarakat dan memberitahu semua orang tentang semua aspek COVID19 dan semua saranan yang wajib dipatuhi,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jelas Haryati, lambakan maklumat berkenaan COVID19 yang bercampur-aduk antara yang sahih dan yang tidak benar, pastinya memberikan kecelaruan kepada audiens, sekaligus membawa kepada penyalahtafsiran maklumat.

“Masalah ini pada pandangan saya ialah disebabkan oleh masalah infodemik, dimana ledakan informasi tentang COVID19, baik yang sahih mahupun tidak, terlalu banyak, lalu mengundang kecelaruan kerana sesetengah rakyat kita terdedah pada maklumat yang tidak sahih di media sosial.

“Cara penyampaian maklumat tidak sahih pula amat menarik dan mampu memukau audiens untuk terus mempercayai maklumat tersebut, jelaslah bahawa kunci utama dalam hal ini adalah audiens sendiri seharusnya bijak dalam menilai sumber maklumat dan berusaha lebih untuk memahami sesuatu perkara, paling mudah, tingkatkan pengetahuan am dengan membawa, merujuk sumber yang benar dan disahkan, bukan semberono,” katanya.

Sememangnya penjelasan beliau amat tepat dan mengena, umpama pepatah Melayu lama, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China, dimana ada kemahuan, disitu ada jalan.

Literasi maklumat kesihatan khasnya boleh ditingkatkan oleh semua pihak, dengan pendekatan sendiri dan berusaha sendiri.

“Rakyat boleh tingkatkan pengetahuan mereka khasnya tentang isu COVID19 dengan memupuk inisiatif membaca maklumat di portal KKM, MKN, World Health Organization (WHO) dan rujukan-rujukan tambahan seperti bertanya dengan pakar perubatan dan media sosial doktor-doktor bertauliah yang sering berkongsi maklumat berkenaan COVID19.

“Dengan membaca, barulah audiens akan lebih peka dan mampu menepis informasi yang tidak sahih dan tidak terpengaruh dengan ‘sandiwara informasi’ yang mengundang panik dan kekacauan,” kata Haryati lagi.

*Cadangan dan Tindakan Masa Depan

Usaha melawan COVID19 pastinya usaha berterusan, semua pihak, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan selagi pandemik ini bermaharajalela dalam komuniti kita, selagi itu tanggungjawab ini perlu dipikul oleh semua.

“Untuk audiens dan semua rakyat dalam komuniti kita, pastinya usaha utama adalah terus patuh SOP.

“Usaha tangga kejayaan dan usahalah untuk mendapatkan maklumat yang sahih dari pelbagai sumber, manfaatkan kecanggihan teknologi maklumat masa kini dan bukan hanya pandai menggunakan media sosial sebagai medium curahan pandangan semata-mata,” kata Haryati.

Dalam pada itu, pihak atasan juga boleh terus menyalurkan maklumat kepada audiens kerana komunikasi sebeginilah yang diperlukan pada saat sulit seumpama kini. Tambah Haryati lagi, jurang komunikasi antara kerajaan dan kumpulan audiens perlu diatasi segera.

“Wujud jurang komunikasi antara pihak kerajaan dengan kumpulan audiens tertentu dan pastinya apa yang diperlukan adalah kesepaduan usaha untuk memutuskan rantaian antara kerajaan dan pemimpin dari peringkat akar umbi, supaya semua rakyat mampu berkongsi dan menjelaskan apa saja permasalahan yang dialami masa kini.

“Misalnya di kampung, situasi agak rumit dan saya jelaskan ini berdasarkan kepada kajian dan penyelidikan yang saya jalankan bersama pasukan, yang mana ada komuniti di kampung dan orang awam yang tidak memahami mesej kesihatan yang diterima dari media.

“Mereka memerlukan penjelasan yang lebih berfokus, misalnya kunjungan ke rumah mereka bagi mendidik mereka tentang COVID19, bersua secara fizikal dan penjelasan tentang bagaimana virus ini menular sekiranya mereka tidak mengamalkan norma baharu, tidak menjaga penjarakan fizikal dan lain-lain lagi,” ujar beliau lagi.

*Usaha Melawan COVID19

Tentunya usaha ini masih perlu diteruskan kerana inilah tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia yang prihatin dan gigih, bersatu hati demi mendapatkan kebebasan kita, dari belenggu virus durjana ini.

Seperti mana pepatah Melayu, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, inilah ibaratnya usaha dan kepatuhan kita dalam mengamalkan norma baharu. Kejayaan melawan COVID19 pernah kita capai satu masa dulu dan pastinya tidak mustahil untuk kita capai sekali lagi.

Bayangkan bagaimana deritanya untuk kita bangkit semula selepas ini jika kita memandang enteng dan tidak mengambil serius akan pematuhan SOP dan amalan norma baharu. Adakah kita akan terus menahan kesulitan bekerja dari rumah sambil mengendalikan sesi pembelajaran anak-anak?

Sanggupkan kita untuk terus berjauhan dan tidak berpeluang bersama ibu ayah di kampung, yang sekian lama menanti kepulangan anak cucu untuk bersama-sama, menyambut perayaan dan bersilaturahim bersama jiran tetangga.

Bagaimana pula dengan ekonomi kita, adakah lebih ramai akan hilang pekerjaan, dan tidak mustahil satu hari nanti giliran kita, merasakan sakitnya hilang pekerjaan, mampu bertahan? Untuk itu, ayuh kita terus jadi masyarakat bertanggungjawab, berilmu dan jadilah pejuang sebenar, dari diri kita, lindungi keluarga kita, komuniti kita dan bebasbkan dunia ini dari COVID19.

Semoga usaha kita diberkati dan urusan kita melawan COVID19 dipermudahkan oleh Tuhan.

Tinggalkan komen