KENINGAU: Biro Srikandi Muda BERSATU Sabah meneruskan usaha mendekati komuniti khasnya golongan petugas barisan hadapan dan mangsa-mangsa bencana banjir akibat hujan lebat yang berlaku di kebanyakan kawasan di Sabah.
Usaha itu dijalankan dengan pemberian sumbangan bantuan bakul makanan.
Di daerah ini, antara lokasi yang dikunjungi adalah Balai Polis Keningau dan Balai Bomba Keningau.
“Kita menghargai jasa petugas barisan hadapan yang menjaga keselamatan di kawasan sempadan daerah, membuat rondaan, menjaga pesakit, misi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, bahkan banyak lagi usaha mereka yang tidak dapat kita jelaskan.
“Tentunya jasa mereka tidak mampu dibalas dengan wang ringgit dan apa sahaja, namun sebagai tanda mengingati dan mengenang penat lelah, kita berikan apa yang kita mampu dan sudah pasti bantuan bakul makanan,” kata Pengerusinya, Nesha Azuren Datuk Abd. Ghani.
Jelas Nesha, bantuan makanan turut diberikan kepada penghantar makanan Grabfood dan Food Panda.
“Mereka juga petugas barisan hadapan, yang sentiasa bersedia, menjadi hero memudahkan urusan kita dalam membeli makanan, tidak kira siang malam, hujan panas, merekalah yang sentiasa menjadi penghantar makanan sehingga ke pintu hadapan rumah kita,” katanya.
Kata Nesha lagi, sumbangan itu adalah tanda keprihatinan biro tersebut terhadap ahli keluarga, individu dan petugas-petugas barisan hadapan.
“Kita berharap, kita mampu berkongsi lebih banyak dengan lebih ramai orang diluar sana.
“Sesungguhnya perjuangan membantu rakyat itu adalah perjuangan yang membawa permasalahan rakyat dimasa dan kesulitan seperti kini, dan membantu mereka dengan sedaya upaya kita,” ujar beliau lagi.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Biro Hanny Fitri Qasyney Asni, Penolong Setiausaha Noor Azmunifah Datuk Noorzain dan Penolong Bendahari Emma Sofiah Jazuli Wilaksono.
Ends.
