BEAUFORT: Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan menyeru semua yang berada di pusat pemindahan mangsa banjir untuk sentiasa mematuhi standard operasi piawaian (SOP) dan mengutamakan kawalan kendiri.
Katanya, negeri Sabah masih mencatatkan angka pesakit yang dijangkiti COVID19 masih tinggi dan usaha untuk membendung penularan wabak itu perlu diteruskan.
“Kita kena sentiasa amalkan semua yang dikehendaki, seperti mana norma baharu kerana COVID19 masih berada dalam masyarakat kita.
“Saya amat berharap agar semua petugas di pusat pemindahan banjir, petugas barisan hadapan dan juga mangsa-mangsa yang berada di pusat pemindahan banjir sentiasa beringat dan menjaga keselamatan dan kebersihan diri serta keluarga kerana inilah usaha kita untuk membendung wabak ini,” katanya semasa berkunjung ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Dewan Pa’Musa di Pekan Beaufort pada Rabu petang.
Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata musibah bencana alam seperti banjir, adalah ujian berat yang diberikan untuk semua terus bersama satu hati dan cekal.
Terdahulu, Fairuz turut mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir di sini.
Hadir sama ialah ADUN Membakut Datuk Arifin Mohd Arif, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Juri, ADUN Lumadan Ruslan Muharam dan Ketua BERSATU Bahagian Sipitang Datuk Matbali Musah.
Ends.
