Srikandi muda kongsi rezeki bersama petugas barisan hadapan

KOTA KINABALU: Biro Srikandi Muda BERSATU Sabah berkesempatan meluangkan masa dan berkongsi keceriaan bersama petugas barisan hadapan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

Pengerusinya, Nesha Azuren Datuk Abdul Ghani berkata Misi Bantuan untuk mangsa banjir dan petugas barisan hadapan yang diadakan itu adalah buat julung kali selepas ditubuhkan, November tahun lalu.

“Biro Srikandi Muda BERSATU Sabah telah mengagihkan bantuan sumbangan kepada mangsa banjir dan petugas barisan hadapan di sekitar Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran termasuk Pusat Pemindahan Sementara Ketiau Putatan, PPS Tuaran, Balai Polis Penampang, Balai Bomba Penampang dan Kolombong.

“Selain itu, kami juga memberikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya Tuaran serta penghantar makanan Food Panda dan pemandu Grab,”katanya.

Menurut Nesha, usaha untuk memupuk semangat berjuang dan mendekati rakyat dalam kalangan Srikandi muda akan terus dipupuk melalui aktiviti-aktiviti yang dekat kepada rakyat.

“Inilah usaha kita, untuk dekat dengan rakyat, untuk memupuk gerak kerja yang lebih baik, dan membentuk pasukan yang utuh, selain daripada membawa perjuangan parti,”jelasnya.

Sumbangan yang diberikan berupa topeng penutup mulut dan muka, cecair pembasmi kuman, bakul makanan dan air minuman.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Biro Hanny Fitri Qasyney Asni, Penolong Setiausaha Noor Azmunifah Datuk Noorzain dan Penolong Bendahari Emma Sofiah Jazuli Wilaksono.

Ends.

Tinggalkan komen