TAMPARULI: Seramai 38 orang mangsa banjir dari sembilan keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Tun Hamdan Tamparuli hari ini kembali ke rumah masing-masing.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kecil Tamparuli, Siti Faizah Binti Asli berkata, kesemua mereka dari Kampung Damit, Kampung Bundung dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Sungai Damit ditempatkan di dewan tersebut sejak 17 Januari lalu hingga hari ini.
“Setelah berada di sini selama empat hari sejak Ahad lepas, mereka akhirnya dihantar pulang hari ini (Rabu) selepas makan tengahari,” katanya.
Menurut Siti Faizah ketika ditemui di Dewan Tun Hamdan hari ini, daripada jumlah tersebut dua daripadanya adalah bayi, 7 orang kanak-kanak perempuan, 14 kanak-kanak lelaki, 11 wanita dewasa dan 4 lelaki dewasa.
Pada penghujung program sebelum mereka dihantar balik juga, turut diadakan majlis penyampakan bantuan bakul makanan kepada ketua keluarga mangsa terlibat.
Majlis penyampaian disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Wanita Parti Bersatu Sabah, Datin Malianah Ugau.
Dalam ucapan singkat beliau, Malianah menghargai usaha kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah Tuaran, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, RELA, JPAM Tuaran, ATM, Polis Diraja Malaysia serta agensi lain termasuklah NGO yang terlibat membantu dari proses pemindahan, mengagih bantuan sehinggalah proses menghantar mereka pulang ke rumah masing-masing.
“Walaupun mungkin di sini tidaklah terlalu selesa seperti di rumah tetapi sekurang-kurangnya ada tempat untuk anda semua berlindung, terjaga dan terhindar daripada malapetaka yang tidak diingini,” katanya.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada mereka yang memilih untuk diberi pertolongan kerajaan dan akur berpindah dengan harapan cuaca bertambah baik.
“Bagi mereka yang mempunyai masalah di rumah selepas balik nanti, rasanya tidak salah untuk anda mengubungi Pengerusi JPKK masing-masing sekiranya terdapat sebarang kerosakan pada rumah atau kawasan tempat tinggal yang benar-benar memerlukan perhatian,” katanya.
Antara yang turut membantu ialah para ahli jawatankuasa Puspanita Daerah Tuaran dan Pergerakan Wanita PBS N.14 Tamparuli yang turut membantu menyediakan makanan kepada para mangsa banjir dan sukarelawan terlibat.
Turut hadir Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar, dan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Kecil Tamparuli Ustaz Suffian Kundu.
Ends.
