Mesej darurat jelas, fokus selesaikan bencana: Salleh

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa membawa mesej yang jelas kepada rakyat agar segera berhenti berpolitik dan menumpukan perhatian kepada bencana yang menimpa negara ini.

Katanya, langkah itu dibuat berikutan kegusaran terhadap kenaikan angka jangkitan Covid-19 secara mendadak.

“Kelmarin kita cecah satu lagi rekod yang membimbangkan, iaitu sebanyak 3,309 kes baharu.

“Kita akui, gelombang baharu penularan Covid-19, bencana banjir serta keadaan politik negara yang tidak stabil telah membawa kebimbangan kepada rakyat,” katanya dalam catatan terbaharu di lama blog beliau, sallehsaid.com.

Mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu turut menyambut baik pengumuman Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bersetuju dengan keputusan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah selama dua minggu yang bermula kelmarin.

Menurutnya, Sabah merupakan antara negeri yang paling teruk diancam gelombang baharu ini.

“Sejak bermulanya 2021, kita merekodkan antara 200 hingga 400 kes baharu setiap hari. Kita juga merekodkan jumlah kes paling tinggi setakat 12 Januari sebanyak 41,449 kes, iaitu hampir 30 peratus.

“Ketika pelaksanaan PKP yang pertama Mac tahun lalu, rakyat Sabah telah bersama berganding bahu dan berjaya melandaikan lekuk jangkitan seawal bulan Mei tahun yang sama,” katanya lagi.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga turut berkata Sabah berhadapan dengan cabaran yang lebih besar kali ini, namun beliau percaya negeri ini boleh berjaya sekali lagi sekiranya rakyat bersatu dan terus mengamalkan penjarakan fizikal, mematuhi SOP PKP dan arahan proklamasi darurat.

Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat Sabah agar tidak panik dan terus tabah menghadapi cabaran itu.

“Hindarkan diri dari menyebarkan berita-berita palsu dan terus bersikap proaktif dan peka terhadap perkembangan semasa,” katanya.

Ends.

Tinggalkan komen