KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menegaskan bahawa kerajaan perlu terus berusaha untuk memastikan sembilan manifesto yang diumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu ditunaikan.
“Kerajaan sudah melaksanakan beberapa perkara daripada sembilan akujanji yang digariskan September lalu dan kesemua ini adalah hak negeri, infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, kesihatan, kemakmuran, pendidikan dan sumber manusia, keselamatan dan belia serta pembangunan wanita.
“Inilah yang perlu difokuskan kerana rakyat sudah memberi mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memperkukuh ekonomi dan mengutamakan kebajikan masyarakat.
“Untuk itu, sewajarnya mandat GRS yang memenangi 38 kerusi itu dipertahankan dan dihormati, sekaligus kerajaan berusaha untuk mengukuhkan mandat rakyat,” katanya dalam entri di laman sesawang beliau di sallehsaid.com kelmarin.
Menurut Salleh, perkembangan politik di Semenanjung Malaysia tidak sepatutnya mempengaruhi kerjasama erat antara komponen-kompenen parti dalam GRS.
“Justeru pada padangan saya, perkembangan di sana tidak wajar mempengaruhi jalinan kerjasama kita dan rakan-rakan dalam GRS.
“Adalah wajar masa kini kita trus berbakti dan memastikan sokongan kepada kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor diperkukuhkan,” katanya.
Jelas Salleh lagi, keutamaan terpenting masa kini kepada rakyat adalah untuk memastikan pembangunan Sabah terus berkembang.
“Sudah pasti pandemik COVID-19 memberikan impak yang cukup besar kepada semua dan kita sudah mencapai catatan peningkatan kes sehingga empat angka.
“Maka, tanggungjawab kita juga adalah untuk memastikan pandemik ini beransur pulih dan ekonomi kita akan terus berkembang seperti sebelumnya,” ujar beliau lagi.
Ends.

