KOTA KINABALU: Ketua Penerangan SRIKANDI BERSATU Sabah, Anna Bell Perian meminta jentera untuk terus memperkukuhkan gerak kerja dan penyampaian maklumat khasnya kepada semua ahli parti dan rakyat.
“Kita perlu lebih fokus dalam usaha untuk meningkatkan fungsi kita sebagai jentera penerangan, untuk terus memberikan maklumat.
“Ini yang perlu kita fokuskan untuk memperbetulkan persepsi rakyat kepada kita dan kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan media disini hari ini.
Menurut Anna Bell, ahli jentera penerangan perlu lebih tegas dalam menyatakan pendirian dan pegangan parti, namun menggunakan cara berhemah.
“Kita gunakan cara yang tegas dalam menyatakan pendirian namun kita kekalkan hemah bicara serta sopan dalam menyatakan maklumat yang sahih kepada pengetahuan umum,” katanya.
Anna Bell yang juga merupakan Ketua SRIKANDI BERSATU Libaran juga memberitahu bahawa peranan jentera penerangan masa kini semakin mencabar dan memerlukan usaha yang lebih keras bagi memastikan maklumat yang dikongsikan sentiasa ke depan dan yang terkini.
“Peranan kita semakin mencabar, jadi kita kena sentiasa up to date dengan semua isu semasa, kongsi dan tekankan kepada semua ahli jawatan kuasa tentang peranan masing-masing, demi memastikan target kita tercapai,” katanya.
Dalam pada itu, Anna Bell turut menyeru agar semua ahli jentera penerangan untuk terus menggembling tenaga khasnya dalam menterjemah Perikatan Nasional (PN) sebagai pembela rakyat.
“Inilah tugas kita dalam jentera penerangan, inilah yang perlu kita fokuskan kerana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bakal tiba tidak lama lagi.
“Kita juga melihat jalinan kerjasama politik dalam semua rakan kongsi, isu yang diutarakan oleh pembangkang, masalah rakyat dan isu semasa terutama di peringkat nasional juga tidak harus kita abaikan kerana ini semua meliputi aspek tugas kita dalam jentera penerangan, iaitu memahami isu, bekerjasama, memahami kekangan dan merangka program yang sesuai berdasarkan apa yang berlaku di semua bahagian,” jelasnya.
Terdahulu Anna Bell turut mempengerusikan Mesyuarat Biro Komunikasi Awam dan Latihan kali-1 di Pejabat BERSATU Negeri Sabah petang tadi.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh wakil ketua-ketua penerangan Srikandi di peringkat bahagian.
Ends.

