Hati-hati sebelum keluar kenyataan: Abqaree

KOTA KINABALU: Ketua ARMADA BERSATU Sepanggar, Abqaree Fawwaz Abekan menyokong kenyataan Ketua ARMADA Sabah, Fairuz Renddan yang meminta semua pihak untuk lebih berhati-hati dan memahami sesuatu isu itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau perbahasan.
“Kaji dahulu isu yang ingin diutarakan supaya tidak ada pihak dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terluka kerana kita terutamanya anak muda kerana masa dan keadaan masa kini sudah berubah, kita jauh lebih matang.
“Adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak cuba menjadi ‘duri dalam daging’ kerana ini jelas merupakan tindakan yang merugikan dan tidak menguntungkan sesiapa pun,” katanya dalam satu kenyataan media disini hari ini.
Jelas Abqaree lagi, GRS yang telah membentuk Kerajaan Negeri dengan pimpinan Ketua Mentri Datuk Seri Hajiji Noor sudah mencapai persepakatan khasnya bagi semua rakan-rakan kongsi parti dalam GRS.
“GRS sudah stabil dan jika ada usaha yang mahu menjatuhkan atau mengganggu jalinan kerjasama erat GRS, ini jelas menunjukkan bahawa pihak tersebut sengaja mahu menggagalkan kesepakatan GRS, sekaligus mengkhianati mandat dari rakyat,” katanya.
Exco ARMADA BERSATU Nasional itu turut menyangkal dakwaan Ketua Pemuda UMNO Sabah Abdul Aziz Julkarnain baru-baru ini yang mengatakan bahawa BERSATU ‘mencuri’ ahli-ahli UMNO.
“Sebelum bersuara, membuat curahan hati atau mengekspresikan rasa tidak puas hati pada mana-mana pihak, sila kenalpasti fakta terlebih dahulu.
“Kita perlu tahu semasa UMNO berada di blok pembangkang pada tahun 2018 dan 2019, banyak ahli-ahli UMNO sendiri yang secara sukarela meninggalkan parti itu dan tidak timbul isu BERSATU ‘mencuri’ ahli-ahli UMNO,” tambahnya.
Dalam pada itu, Abqaree yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU turut menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO yang telah keluar parti menyertai BERSATU atas pilihan sendiri dan tidak ada sebarang rayuan atau tawaran yang dikatakan sebagai ‘beli’ atau ‘curi’ ahli.
“Kita di ARMADA BERSATU Nasional, tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap tuduhan yang boleh dikatakan agak keterlaluan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
“Tidak sepatutnya beliau, memberikan kenyataan sedemikian, yang juga kemudian disusuli oleh Abdul Aziz, kerana sewajarnya sebagai rakan kongsi dalam GRS, kita semua wajar mencari formula bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama, bukan ‘mencurah minyak ke api’,” ujar beliau.
Ends.

Tinggalkan komen